Batu unik bunyi gong di Tambunan akan dipindah

Batu unik bunyi gong di Tambunan akan dipindah

Batu yang mengeluarkan bunyi gong apabila dipalu akan dipindahkan ke tapak baharu untuk kemudahan pengunjung.

Joniston Bangkuai (empat dari kiri) bersama penduduk kampung memalu Batu Gong yang mengeluarkan nada berbeza bergantung kepada cara paluan. (Gambar STB)
TAMBUNAN:
Batu yang mengeluarkan bunyi gong apabila dipalu, atau lebih dikenali sebagai “Batu Gong”, dalam kalangan penduduk tempatan bakal ditempatkan di tapak yang lebih sesuai, berikutan populariti pelancongan desa di Sabah.

Batu unik di Kampung Salibog itu akan dipindahkan ke tapak baharu yang hampir siap pembinaannya. Sebanyak RM20,000 daripada “Sabah New Deal” diperuntukkan bagi membina tapak itu.

Batu Gong berukuran 1m panjang itu ditemui berhampiran Sungai Pegalan pada 1995, apabila jengkaut yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan tebing terkena batu itu.

Menjadikan Batu Gong lagi unik adalah ia mengeluarkan nada berbeza bergantung kepada cara paluan. Keberadaannya memasyhurkan nama Kampung Salibog sehingga ia menjadi tumpuan pelancong.

Ketika ini, Batu Gong ditempatkan di pekarangan rumah Ketua Kampung bagi mengelakkan ia dicuri, selepas cubaan sekumpulan 20 orang melarikannya dengan kenderaan pacuan empat roda dipatahkan penduduk.

Presiden Persatuan Pelancongan Tambunan Patricia Kitingan berkata, tapak baharu Batu Gong terletak kira-kira 100m dari lokasi asal.

“Sebuah pondok baru sedang dibangunkan dan Batu Gong akan dipindahkan antara bulan Jun atau Julai, bergantung kepada situasi wabak,” kata beliau.

Katanya lagi, pemilik tanah di mana Batu Gong kini ditempatkan meminta batu unik itu ditempatkan di tapak yang lebih sesuai bagi memudahkan kunjungan orang ramai.

Menurut Patricia, Lembaga Pelancongan Sabah menambahbaik kemudahan awam, seperti pondok dan tandas awam, di Salibog bagi mengalakkan pelancongan.

Katanya lagi, pejabat daerah telah memohon sebuah galeri untuk melengkapkan Batu Gong sebagai produk pelancongan.

“Ini membolehkan penduduk kampung dan pengunjung mengadakan pembuatan kraftangan, perhimpunan mini, atau majlis perkahwinan yang boleh menambah pendapatan ke dalam dana komuniti.

“Persatuan kami juga akan membantu komuniti mendapatkan dana bagi membina sebuah kiosk untuk pusat ekonomi di mana penduduk kampung dapat mempamer dan menjual hasil kraftangan, seni, dan produk mereka yang lain.”

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Joniston Bangkuai percaya masih banyak orang di Sabah yang belum menyedari kewujudan Batu Gong ini.

“Kita perlu ketengahkan produk-produk pelancongan yang mampu memberi pendapatan kepada komuniti dan menarik lebih ramai pengunjung untuk menjelajah kawasan luar bandar,” kata beliau baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.