
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, sistem amaran awal baharu kerajaan yang dikenali sebagai “Hotspot Identification by Dynamic Engagement” (HIDE) juga mengenalpasti 1,660 lokasi berisiko mencetuskan kluster setakat 3 Mei lalu.
Menerusi analisis data raya dan kepintaran buatan, Khairy berkata, HIDE membolehkan pihak berkuasa dan pemilik premis melakukan intervensi bersasar dalam mengurus wabak dan mencegah tercetusnya kluster baharu.
Alat seperti ini juga dibangunkan untuk mengelakkan sekatan menyeluruh yang akan memberi impak negatif terhadap ekonomi, tambah beliau.
Pada sidang media hari ini, Khairy berkata, tidak ada keperluan untuk kerajaan meningkatkan pengesanan kontak, memandangkan peningkatan jumlah kes, serta unit rawatan rapi (ICU) di hospital di Lembah Klang kini sudah mencapai had kapasiti.
Susulan itu, senarai “hotspot” harian, yang berkemungkinan berkembang menjadi kluster penuh, akan dipaparkan di aplikasi MySejahtera bermula 7 Mei untuk membantu pemilik premis dan masyarakat umum mengamalkan kawalan kendiri.
Pemilik premis digalakkan menjalankan saringan terhadap pekerja mengikut selang masa, memantau dan meningkatkan kawalan, serta menghadkan jumlah pengunjung.
Khairy menegaskan bahawa premis yang dikenalpasti sebagai “hotspot” hanya akan dikehendaki ditutup mengikut penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Buat masa ini, beberapa ‘hotspot’ berpotensi besar di Selangor dan Kuala Lumpur terdiri daripada pusat beli belah, kedai makanan dan minuman, pasaraya, bazar serta premis pejabat,” kata Khairy.
Tambah beliau, individu yang melawat “hotspot” yang sudah dikenalpasti akan dikategorikan sebagai kontak kasual.
Mereka akan diawasi melalui aplikasi MySejahtera dan dinasihatkan untuk menjalani penilaian kendiri dan membuat pemantauan sekiranya mempunyai simptom.
“Menyenaraikan secara terbuka ‘hotspot’ besar yang berpotensi adalah satu lagi langkah ke hadapan dalam memperkasa masyarakat dengan maklumat yang secukupnya supaya mereka boleh membuat keputusan berpandukan maklumat, manakala pemilik premis pula boleh mengambil langkah pencegahan dengan cepat,” kata Khairy.
Beliau juga menggesa lebih banyak kawasan perumahan, kediaman pekerja serta pejabat untuk mencetak kod QR sendiri melalui aplikasi MySejahtera bagi membolehkan maklumat yang tepat mengenai kluster berpotensi diperoleh.