Pesawat dari India hanya babit penerbangan kargo, kata menteri

Pesawat dari India hanya babit penerbangan kargo, kata menteri

Pada 28 April, Putrajaya menyekat sementara penerbangan dari dan ke India dalam usaha mencegah penularan varian baru dari negara itu.

Wee Ka Siong berkata mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu dan ia dipraktikkan Malaysia Airlines selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Malaysia Airlines hanya membawa kargo, bukan penumpang, dalam penerbangannya ke dan dari India, kata menteri pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau menjawab kepada dakwaan mengatakan penerbangan dari India masih dibenarkan walaupun Majlis Keselamatan Negara sebelum ini memutuskan untuk melarang semua pengembara dari India, sama ada melalui penerbangan terus atau transit, daripada memasuki sempadan negara.

Wee berkata hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan buat masa ini dan semua penerbangan syarikat itu, seperti tular di media sosial melibatkan penerbangan kargo.

“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan Malaysia Airlines selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Wee berkata, pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia ketika ini.

Pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang transit melalui negara ini dari India, tanpa melalui imigresen dan kastam. Pelajar dan pekerja Malaysia, keluarga mereka, dan pasangan bukan warganegara yang pulang ke Malaysia dari India juga dibenarkan “dengan kuarantin mandatori 14 hari”.

“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. Malaysia Airlines juga melarang mana-mana krew penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan.”

Susulan larangan itu berkuatkuasa Rabu lalu, warganet berkongsi maklumat penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke India dan maklumat penerbangan kembali, menerusi hasil pencarian mereka di laman web pengesanan penerbangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.