
Dalam satu kenyataan, ia berkata tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan pengesanan ketidaknormalan pada petunjuk enjin.
Menurutnya, penerbangan gantian MH21D bagaimanapun dijadualkan berlepas dari CDG pada 1 tengah hari waktu tempatan hari ini.
“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan telah memohon pengendalian keutamaan dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara, termasuk penggunaan kod transponder kecemasan.
“Ini bagi memudahkan kepulangan selamat ke CDG untuk pemeriksaan teknikal.
“Pesawat tersebut mendarat dengan selamat pada 3.35 petang waktu tempatan di Paris,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan juruterbang pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus selepas berlepas dari CDG, Paris, semalam.
Penerbangan MH21 berlepas dari CDG pada 11.55 pagi waktu tempatan (CET), kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal berikutan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan.
Malaysia Airlines berkata, penumpang yang terjejas ditempatkan semula ke syarikat penerbangan alternatif sekiranya ada manakala sebahagian penumpang lain disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang.
“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang. Keselamatan kekal sebagai keutamaan utama Malaysia Airlines,” kata kenyataannya.