Kes meningkat, JKNK beku cuti raya 14,000 pegawai, kakitangan kesihatan

Kes meningkat, JKNK beku cuti raya 14,000 pegawai, kakitangan kesihatan

JKNK ambil keputusan bekukan cuti kesemua 14,000 pegawai dan kakitangannya sebagai persediaan hadapi pandemik Covid-19.

Pengarah JKNK, Dr Zaini Husin berkata, langkah itu terpaksa diambil susulan penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negeri itu. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kurang dua minggu lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengambil keputusan membekukan cuti kesemua 14,000 pegawai dan kakitangannya sebagai persediaan berhadapan pandemik Covid-19.

Pengarah JKNK, Dr Zaini Husin berkata, langkah tersebut terpaksa diambil susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negeri itu.

“Kerjasama anggota petugas dalam tempoh keadaan sekarang amat diperlukan bagi memastikan rakyat Kelantan yang terjejas disebabkan Covid-19 dapat dirawat sebaik mungkin.

“Selain itu, dari segi pengurusan sumber manusia Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah membantu dengan menggerakkan petugas kesihatan dari seluruh Malaysia secara berkala untuk membantu kita di Kelantan termasuk petugas dalaman di hospital daerah dan sebagainya,” katanya.

Ditanya sama ada petugas kesihatan dari Kedah di Kelantan mungkin dihantar semula ke Kedah susulan peningkatan Covid-19 di negeri itu, Dr Zaini berkata pihaknya telah menyusun strategi bagi menghadapi sebarang kebarangkalian.

“Antara strategi, sekiranya mereka dihantar pulang, kita akan menggerakkan petugas sedia ada termasuk petugas dari Hospital USM untuk menggembleng tenaga di Kelantan dan saya percaya KKM akan menggantikan mereka dengan petugas dari negeri lain,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan mencatat 401 kes harian baharu Covid-19 dengan 34 kluster yang masih aktif.

Dr Zaini juga berkata PKRC di Kampus Kesihatan USM yang mampu menempatkan 500 pesakit lelaki menerima 150 pesakit Covid-19 pada 4 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.