
Ketika keputusan undian diumumkan sebentar tadi, Yeo yang juga Ahli Parlimen Bakri meraih 631 undi, diikuti Teo Nie Ching (577) dan Liew Ching Tong (561).
Jawatankuasa DAP negeri kemudiannya melantik semula Liew sebagai Pengerusi DAP Johor dan Teo selaku timbalannya.
Liew dipilih sebagai Pengerusi DAP Johor sejak 2014.
Jawatan Naib Pengerusi DAP negeri pula diisi muka baharu, Sheikh Umar Bagharib Ali yang memegang jawatan Setiausaha Publisiti sebelum ini.
Sementara itu, Tan Hong Pin yang menyandang jawatan Setiausaha DAP Johor, hampir pasti tidak dapat mengekalkan jawatannya apabila “terkeluar” daripada senarai barisan 15 kepimpinan kerana hanya mendapat 485 undian yang menempatkannya di tangga ke-16.
Rakan seteru dan “kerjasamanya”, Boo Cheng Hau terselamat apabila menduduki tangga ke-14 dengan 495 undian.
Dalam pada itu, S Ramakrishnan yang menduduki tempat ke-18, dipilih semula ke jawatankuasa negeri, susulan lima pelantikan baharu yang menjadikan keseluruhan 20 barisan kepimpinan negeri bagi penggal ini.
Pemilihan hari ini menyaksikan tiga calon menarik diri dan 1,031 perwakilan hadir, iaitu 69% daripada keseluruhan 1,489 perwakilan di Johor.
Dalam pada itu, Liew dalam sidang media berharap semua ahli akan meneruskan agenda baharu parti itu selepas tamat pemilihan hari ini dan memfokuskan lima perkara yang digariskan.
“Pertama adalah persediaan untuk pilihan raya umum ke-15, persediaan holistik dalam aspek pentadbiran, menyedari sasaran DAP menjadi parti berbilang kaum, transformasi parti dan menjadi parti politik pilihan warga belia serta wanita.
“Barisan kepimpinan baharu ini akan mengadakan jelajah dan sesi bersemuka dengan akar umbi di seluruh Johor,” kata bekas timbalan menteri pertahanan itu.