Kelantan dijangka catat kes harian 3 angka selama 4 minggu

Kelantan dijangka catat kes harian 3 angka selama 4 minggu

Sejak hampir dua minggu, Kelantan mencatatkan antara 400 hingga 500 kes setiap hari, kata pengarah jabatan kesihatan negeri.

Antara 700 hingga 800 ujian Covid-19 dilakukan setiap hari di Kelantan dan sebanyak lima hingga 10% biasanya dikesan positif, kata Dr Zaini Hussin.
KOTA BHARU:
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan negeri itu akan mencatat kes harian baharu mencecah tiga angka selama empat minggu berturut-turut berdasarkan situasi semasa Covid-19.

Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin berkata, sejak hampir dua minggu, Kelantan mencatatkan antara 400 hingga 500 kes setiap hari walaupun telah melaksanakan tindakan atau langkah menutup bazar Ramadan dan sekolah, selain melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, pertambahan kes dalam komuniti menunjukkan Covid-19 kini sudah berada dalam kalangan masyarakat.

“Keadaan ini hanya boleh diatasi sekiranya masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dan sentiasa peka yang kita sebenarnya berhadapan dengan wabak.

“Apa yang membimbangkan adalah tidak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Kita tidak mahu di Hari Raya itu kita terus melupakan tanggungjawab terhadap SOP,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas perkembangan ujian saringan Covid-19 di Kelantan, beliau berkata antara 700 hingga 800 ujian dilakukan setiap hari.

“Sebelum ini, kes tertangguh adalah sebanyak 3,000 tetapi sekarang sudah berkurangan kepada 1,000 kerana JKNK mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya seperti menghantar sampel ke Makmal Kesihatan Awam di Ipoh, Perak serta makmal swasta untuk diuji.

“Kini keputusan ujian dapat dikeluarkan dalam tempoh 48 jam. Daripada jumlah yang diuji, sebanyak lima hingga 10% biasanya dikesan positif,” kata beliau.

Ditanya perkembangan kes tiga peniaga yang dikompaun sebanyak RM50,000 baru-baru ini, Zaini berkata, kertas siasatan sudah dihantar oleh JKNK ke ibu pejabat di Putrajaya dan setakat ini, keputusan rayuan belum diperoleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.