Guan Eng persoal SPRM ‘senyap’ selepas KPN dedah rasuah ‘katak politik’

Guan Eng persoal SPRM ‘senyap’ selepas KPN dedah rasuah ‘katak politik’

Kegagalan SPRM bertindak hanya mengesahkan dakwaan PH bahawa agensi kerajaan ditukar menjadi ‘senjata politik’ terhadap pembangkang.

Lim Guan Eng mendakwa pendedahan Abdul Hamid Bador ‘mengesahkan’ amalan rasuah untuk mendorong dan mengancam wakil rakyat menukar parti.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana masih “berdiam diri” selepas pendedahan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai rasuah dalam politik.

Beliau berkata, SPRM tidak lagi boleh bersembunyi dan harus menjelaskan kepada rakyat mengenai pendedahan itu.

“Mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berdiam diri ketika KPN berkata, ‘saya tengok rasuah merata-rata dalam politik. Siasat katak-katak politik’,” katanya dalam ucapannya pada konvensyen DAP Johor.

Pada Jumaat, Hamid dilaporkan berkata, SPRM perlu menjalankan siasatan ke atas ahli politik yang terlibat dalam perbuatan “lompat parti”.

Hamid berkata, beliau berusaha memerangi rasuah dalam pasukan polis, tetapi dalam politik beliau melihat rasuah berlaku “di mana-mana”.

“Kenapa mereka tidak fikir tentang perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata, pendedahan Hamid mengesahkan rasuah digunakan untuk “mendorong dan mengancam” dalam membeli sokongan wakil rakyat pembangkang bagi menguatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Katanya, jika SPRM gagal bertindak walaupun aduan dibuat oleh KPN sendiri, maka beliau mempersoalkan harapan orang awam bahawa agensi penguatkuasaan itu akan bertindak atas aduan mereka berhubung rasuah politik di peringkat tertinggi.

“Kegagalan SPRM bertindak hanya mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh PH bahawa agensi kerajaan, termasuk SPRM, ditukar menjadi senjata politik terhadap pembangkang.

“Sebagai contoh, siasatan SPRM terhadap bekas naib presiden dan Ahli Parlimen PKR Dr Xavier Jayakumar secara misteri “hilang” setelah beliau melompat dan menyokong Muhyiddin Yassin secara terbuka,” katanya.

Lim juga berkata, DAP menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dan bertindak atas pendedahan mengejutkan berhubung penyalahgunaan kuasa ahli politik PN dalam pasukan polis yang menjejaskan integriti, profesionalisme dan kredibilitinya.

“Kegagalan menubuhkan RCI hanya akan menambah keraguan rakyat dan defisit kepercayaan terhadap PN, yang dilihat ingin menutup penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan salah laku bagi menjamin kepentingan ‘survival’ politik mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.