
“Konvensyen DAP jauh lebih cekap daripada Parlimen, lebih 1,400 perwakilan diteruskan dengan mematuhi SOP, tetapi Parlimen dengan 222 ahli masih tak boleh bersidang. DAP Johor lebih layak (mentadbir) berbanding kerajaan pusat,” katanya ketika berucap merasmikan konvensyen tahunan parti negeri itu.
Selain isu Covid-19, Gobind berkata, beberapa isu lain yang penting juga perlu dibahaskan dalam konvensyen itu, antaranya dakwaan rasuah dan salah guna kuasa oleh Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
“Pendedahan wujudnya kartel dan amalan rasuah dalam polis amat serius dan kesan cukup besar pada polis kerana rakyat bergantung pada badan berkuasa seperti polis dan SPRM untuk siasat.
“Sekiranya wujud permasalahan ini, tindakan perlu diambil. Sekiranya tidak, kalau betul tidak ada berlaku (rasuah dan salah guna kuasa) perlu ada kenyataan dikeluarkan menjelaskannya, tidak boleh biar kenyataan ini tergantung begitu sahaja.”

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata, DAP komited mempertahankan lima kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi di Johor pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
“Pada 2008, DAP Johor memenangi empat kerusi dalam DUN Johor, 2013 kita menang 13 kerusi dan 2018 angka itu naik kepada 14 kerusi.
“Untuk Parlimen, pada 2008 kita menang satu kerusi, 2013 empat kerusi dan 2018 meningkat lima kerusi Parlimen. Cukup jelas bagaimana DAP tingkatkan kemenangan di Johor ini adalah hasil ahli dan semua kepimpinan Johor. Ini prestasi baik.”
Sejurus selesai ucapan Gobind dan perasmian konvensyen itu, DAP Johor mengadakan pemilihan, dengan 40 calon akan berentap dalam pemilihan dua peringkat, membabitkan ahli jawatankuasa negeri dan barisan 15 kepimpinan negeri.