
Ketua Pegawai Eksekutifnya Shukor Ismail berkata, pemilik boleh membawa kenderaan mereka ke mana-mana cawangan Puspakom, kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang, dari 8 pagi hingga 5 petang.
“Walaupun musim perayaan ini kita tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung namun keselamatan kenderaan masih perlu dititikberatkan kerana kenderaan masih lagi digunakan untuk bergerak melakukan aktiviti harian seperti pergi bekerja dan membeli barang keperluan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Antara item yang akan diperiksa adalah brek, gelincir sisi, tayar, lampu, suspensi, dan cermin gelap, menurut Shukor.
Kata beliau, bagi memastikan pelanggan yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, selain mengelak kesesakan di cawangan, mereka yang ingin menjalani pemeriksaan percuma itu dikehendaki membuat janji temu secara dalam talian terlebih dahulu di www.mypuspakom.com.my.
Fi pemprosesan MyPUSPAKOM yang dikutip sewaktu tempahan akan dipulangkan setelah pemeriksaan selesai.
Selain di cawangan, Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom akan menawarkan pemeriksaan percuma tersebut di dua lokasi bagi iaitu di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam pada 3 Mei dan Pekarangan Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Mei, dengan kerjasama Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK).
Unit Pemeriksaan Bergerak ini akan beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang.