Polis guna dron pantau bazar Ramadan, Aidilfitri

Polis guna dron pantau bazar Ramadan, Aidilfitri

Ini kerana polis sukar memantau kehadiran pengunjung yang ramai di semua bazar sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani meninjau pengoperasian dron di bazaar Aidilfitri di sekitar Lembah Klang malam tadi. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dron digunakan untuk memantau pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri sekitar Lembah Klang kerana polis sukar berbuat demikian di semua bazar.

“Seperti diketahui, agak sukar untuk memantau kehadiran pengunjung di sesebuah bazar yang pada malam kebiasaannya boleh mencecah 2,000 hingga 3,000 pengunjung.

“Jumlah itu bagaimanapun boleh mencecah lebih lagi dan polis yang mengoperasikan dron ini akan memastikan pengunjung yang hadir ke bazar-bazar berkenaan mematuhi SOP,” katanya kepada Bernama semasa melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Beliau berkata, penggunaan dron mampu memberikan gambaran jelas sama ada penjarakan fizikal di sesetengah bazar dipatuhi atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Polis, Rasha Azaldin Shafii berkata, pihaknya menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, beberapa pasukan unit dron akan dibahagikan untuk memantau beberapa bazar yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

“Kebiasaannya, kami akan memulakan penugasan unit dron di bazar selama 30 minit untuk memantau SOP. Pasukan saya akan mula menerbangkan dron pada waktu petang.

“Kami memantau SOP di bazar berdasarkan arahan ketua polis daerah sekiranya perlu dan bukanlah setiap masa kami memantau.”

Rasha berkata, segala video dan gambar akan dirakamkan serta boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan.

“Dari pusat operasi dron ini, apabila dron diterbangkan ia boleh melihat segala pergerakan pengunjung di bazar dan jika nampak mereka tidak mematuhi SOP, dron polis akan menegur mereka melalui pembesar suara dron.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.