
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata semua mereka yang terdiri daripada 10 lelaki warga tempatan serta masing-masing dua lelaki dan wanita warga China berumur lingkungan 19 hingga 27 tahun, ditahan di sekitar Lembah Klang pada Rabu lalu.
Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak awal Februari lalu dan menyasarkan mangsa dari China, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya sindiket itu menyiarkan iklan melalui Facebook untuk mencari pekerja dengan menawarkan gaji RM2,500 hingga RM3,000 dan menyediakan beberapa kondominium di ibu negara sebagai penginapan.
Modus operandi sindiket ialah memberikan akses kepada mangsa untuk melabur dalam laman sesawang yang disediakan dengan tawaran keuntungan yang tinggi namun keuntungan itu tidak pernah dibayar, katanya.
Zainuddin berkata semua suspek tempatan direman sehari manakala suspek warga asing direman di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Kes disiasat menurut Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen.
Beliau turut menasihati masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum melabur.