
Sabah memaklumkan ia akan mengekalkan SOP bagi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan sebelum ini walaupun negeri itu kini dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula Khamis hingga 17 Mei.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Masidi Manjun berkata, kerajaan memutuskan akan mengekalkan garis panduan PKPP bagi memastikan pemulihan ekonomi tidak terjejas.
Bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, walaupun matlamat itu boleh diterima, namun kerajaan tidak boleh mengubah peraturan sesuka hati.
Beliau mempersoal keperluan mengubah status perintah sekatan yang dikenakan sedangkan SOPnya tidak dilaksanakan.
“Jadi mana satu? PKPP atau PKPB? Ia tidak masuk akal. SOP mesti jelas dan telus serta konsisten. Anda tidak boleh mengubahnya hari ini atau esok,” katanya kepada FMT.
“Ada SOP PKPB dan ada peraturan PKPP. Jika kita keliru, maka pegawai penguat kuasa juga akan keliru. Malah ketua menteri juga mungkin keliru.
Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen Azrul Mohd Khalib berkata, SOP yang saling bercanggah “tidak adil kepada orang ramai”.
“Penalti dan hukuman yang dikuat kuasa berkait dengan SOP yang diguna pakai. Penalti yang keras tidak memberi makna jika kerajaan sendiri (pusat dan negeri) tidak dapat memutuskan SOP manakah yang diguna pakai.
“Dari segi ini, kita perlukan pengkelasan yang tepat untuk mewakili tahap kebimbangan yang wujud. Kategori yang mengelirukan akan menatijahkan rasa selamat yang palsu, sekali gus menyebabkan orang ramai menjadi alpa.
“Ini akhirnya akan berkesudahan dengan peningkatan kes dan penularan wabak.
“Tahap kesiapsiagaan yang rendah adalah berbahaya sewaktu orang ramai perlu lebih berhati-hati dan berwaspada. Tidak ada bezanya,” katanya.
Ketika mengumumkan pelaksanaan PKPB di Sabah pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, 33 lokaliti di negeri itu dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), sementara bilangan zon hijaunya terus merosot.
Berikutan kenyataan itu, pelbagai mesej tular tersebar di media sosial yang mendakwa SOP seperti dua orang dalam sebuah kenderaan, penutupan kemudahan awam seperti sekolah dan tempat ibadat serta larangan keluar daerah akan dilaksanakan semula.
Dalam pada itu, bekas menteri kesihatan Sabah Frankie Poon tidak bersetuju dengan keputusan meletakkan semula negeri itu di bawah PKPB dengan berkata, langkah yang didasarkan kepada laporan kes harian itu masih boleh dikawal berbanding tempat lain di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan negeri harus memberitahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya tidak melaksanakan PKPB, tetapi mempertahankan pendiriannya untuk mengekalkan PKPP.