3 ibu tunggal mohon bantuan gereja disiasat

3 ibu tunggal mohon bantuan gereja disiasat

Zulkifli akan menyiasat dan membantu individu berkenaan jika tahu mengenai perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
PETALING JAYA:
“Kalau saya tahu, saya akan bantu”, demikian reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung dakwaan tiga ibu tunggal beragama Islam terpaksa memohon bantuan kewangan daripada pihak gereja selepas permohonan mereka ditolak pusat zakat atau agensi berkaitan.

Zulkifli menegaskan beliau akan membantu individu berkenaan sekiranya mengetahui mengenai perkara itu.

Isu itu dibangkitkan berikutan laporan sebuah portal berita mengenai tiga ibu tunggal yang terpaksa memohon bantuan gereja sejak beberapa tahun lalu selepas institusi zakat dan agensi berkaitan menolak permohonan mereka.

Menyentuh soal SOP berkaitan ibadah haji dan umrah, beliau berkata, SOP itu telah dilengkapkan, bagaimanapun Arab Saudi belum membuat keputusan sama ada ibadah haji dan umrah dibenarkan pada musim ini.

“Kita doalah banyak-banyak kepada Allah agar wabak ini (Covid-19) pergi,” katanya dipetik Bernama selepas merasmikan Program Semarak Lailatul Qadar dan Ramah Mesra Bersama Pengetua Tahfiz serta Pondok Wilayah Persekutuan di Maahad Tahfiz Al Faridiyah di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.