
SCOVAG dalam kenyataan hari ini berkata, varian itu dikesan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak dalam analisis penjujukan genom minggu lalu.
Pengarah IHCM Prof Dr David Perera berkata, varian P.3 ditemukan dalam empat sampel diterima dari Kuching dan empat sampel dari Samarahan.
“Mutasi ini didapati mampu mengatasi keimunan daripada perlindungan menerusi pemvaksinan dan perlindungan jangkitan semula jadi serta mempunyai kebolehjangkitan lebih tinggi, “ kata Perera, yang juga ahli SCOVAG.
Sementara itu, Perera berkata, penyebaran tidak terkawal virus Covid-19 akan menjurus kepada kemunculan lebih banyak varian yang mungkin mendatangkan kesan ketara ke atas keberkesanan vaksin dan kebarangkalian jangkitan yang lebih teruk.
Beliau berkata, perkembangan berterusan varian baharu Covid-19 menekankan keperluan untuk orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mencapai imuniti kelompok menerusi program vaksinasi.
“Usaha ini akan membantu memperlahankan penyebaran virus dan mengurangkan peluang perkembangan varian akan datang di dalam komuniti,” kata beliau.
Sejak wabak Covid-19 tercetus tahun lalu, IHCM berada di barisan hadapan menentang wabak itu di negeri ini.
Ia diberi tugas melakukan ujian sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan di dalam virus itu.