
Beliau menjelaskan perkara itu dalam kenyataan media hari ini, sebagai reaksi kepada laporan akhbar berbahasa Inggeris mengenai tindakan sebuah syarikat e-hailing yang menetapkan syarat had umur bagi memohon menjadi pemandu.
Wee berkata, kementeriannya atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menetapkan sebarang syarat atau peraturan berkaitan had umur maksima kepada mana-mana individu yang ingin menjadi pemandu e-hailing.
“Mana-mana individu boleh terus memegang atau memperbaharui Lesen Vokasional mereka selagi individu tersebut mematuhi semua syarat lain yang ditetapkan termasuk mengemukakan laporan perubatan mengesahkan mereka sihat dan berupaya melaksanakan fungsi pemanduan dengan selamat,” katanya, menurut laporan Kosmo!.
Wee berkata, beliau difahamkan penetapan had umur maksima oleh pihak Grab seperti dilaporkan dalam akhbar itu adalah suatu ketetapan atau syarat dalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu sebagai pemandu e-hailing dengan pihak Grab.
“Diharapkan operator-operator perkhidmatan e-hailing di seluruh negara dapat menilai semula syarat-syarat dalaman termasuk berkenaan had umur maksima itu selepas mengambil kira isu kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat akibat pandemik Covid-19 ini.
“Ia juga bertujuan membantu semua yang terlibat untuk dapat meneruskan kelangsungan kehidupan mereka dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing,” katanya.
Wee berkata, pemandu e-hailing juga perlu sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan tahap kesihatan diri mereka adalah dalam keadaan yang baik pada setiap masa.
“Tahap kesihatan diri seorang pemandu e-hailing itu amatlah penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah sentiasa selamat terutama kepada penumpang dan pengguna jalan raya lain,” katanya.