Sudah-sudahlah, denda RM50,000 untuk peniaga ‘sinalau bakas’ memang wajar, kata polis

Sudah-sudahlah, denda RM50,000 untuk peniaga ‘sinalau bakas’ memang wajar, kata polis

Menurut polis, peniaga itu tiada lesen berniaga atau menawarkan alkohol, hiburan serta daging selain melanggar SOP Covid-19.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali menunjukkan gambar sebagai bukti bahawa peniaga ‘sinalau bakas’ itu melanggar SOP.
KOTA KINABALU:
Denda RM50,000 terhadap seorang peniaga babi hutan panggang kerana melanggar SOP Covid-19 adalah wajar, malah dia turut melakukan kesalahan lain, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali.

Hazani yang menafikan polis bertindak secara tidak adil berkata, gerai itu tidak mempunyai lesen perniagaan sah untuk beroperasi sebagai kedai makan atau tempat hiburan, malah tiada permit menjual alkohol dan daging babi hutan.

“Ketika anggota saya tiba di situ, masih ada pelanggan minum minuman keras dan berkaraoke,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Kepayan hari ini.

Hazani berkata, pihaknya mendapat maklumat orang awam yang mengadu gerai itu menjalankan aktiviti berkenaan, terutama karaoke, sehingga lewat malam.

“Ketika polis pergi ke situ, memang kami mendapati itu berlaku. Kami malah sepatutnya boleh ambil tindakan lebih tegas terhadap peniaga terbabit.

“Sebaliknya kami sekadar menasihatinya supaya tidak mengulangi perbuatan itu, selain mengenakan kompaun.”

Rayner Longtin, peniaga daging babi hutan panggang atau “sinalau bakas” itu dikompaun RM50,000 manakala dua rakannya masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.

Rayner mendakwa kejadian berlaku ketika dia sedang menutup kedai pada Isnin, dan polis tidak mengendahkan penjelasannya itu.

Menurut Rayner, rakannya menunggu untuk menghantarnya pulang, tetapi dia sendiri terpaksa menunggu pelanggan yang masih belum selesai makan.

Bagaimanapun, Hazani membidas dakwaan itu malah menegaskan gerai itu langsung tidak menunjukkan tanda hendak ditutup ketika polis datang memeriksa.

“Kedai itu tidak ditutup. Alat pembesar suara masih ada dan mereka masih berkaraoke serta minum.

“Jadi bagaimana pula ia ditutup? Dakwaan itu sekadar untuk meraih simpati. Kami ada gambar sebagai bukti,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata gambar berkenaan tidak boleh dikongsikan dengan media.

Hazani berkata, akibat kejadian itu polis telah dikecam hebat orang awam, terutama di media sosial.

“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi saya ingin menggesa netizen supaya tidak hanya mendengar satu pihak.

“Ada sebab wajar untuk polis mengenakan kompaun berkenaan.

“Kami bukannya zalim, kami cuma menjalankan tugas sebagai agensi utama dalam memastikan pematuhan SOP,” kata beliau.

“Jangan tegangkan keadaan. Tolonglah faham kita semua dalam keadaan tertekan, termasuk polis. Jadi jangan sebarkan maklumat yang tidak benar.”

Sementara itu, Hazani berkata, polis bersetuju membenarkan penduduk di perkampungan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Tawau untuk keluar masuk kawasan mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, penduduk masih perlu merekodkan pergerakan mereka dalam buku log di pos kawalan polis, manakala orang luar masih tidak dibenarkan masuk melainkan atas faktor kecemasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.