
Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali, ketika membantah perintah injunksi oleh Dhaya Maju- LTAT Sdn Bhd terhadap kerajaan berhubung projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2), berkata Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan “dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh memberikan perintah untuk menyekat tugas awam ”.
“Dalam kata lain, perintah injunksi akan menghalang kami (kerajaan) daripada melaksanakan tugas umum kami. Selain itu, KVDT2 akan terhenti dan tidak dapat diteruskan,” katanya.
Dhaya Maju-LTAT mengemukakan saman terhadap kerajaan, mendakwa surat penamatannya tidak dihantar, sebagaimana yang tertakluk bawah syarat kontraknya. Notis penamatan telah dihantar kepada syarikat itu pada September tahun lalu.
Katanya, kerajaan juga tidak mempunyai asas untuk menamatkan kontrak tersebut atas alasan “kepentingan umum”.
Syarikat itu cuba untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menyekat kerajaan daripada menamatkan kontrak tersebut.
Asliza juga berkata sebarang kerugian yang ditanggung oleh Dhaya Maju-LTAT dari penamatan tersebut boleh dibayar dengan ganti rugi.
Peguam Dhaya Maju-LTAT, Khoo Guan Huat, memberitahu mahkamah mereka telah meminta perintah injunksi untuk mengekalkan status quo antara syarikat dan kerajaan, sementara menunggu pembatalan tuntutan itu.
“Kami mencabar kerana penamatan ini tidak sah. Menteri tersebut (Wee Ka Siong) menekankan ‘kepentingan nasional’ dan harga kami yang terlalu tinggi sebagai alasannya.
“Kami diberhentikan bukan kerana kami tidak melakukan pekerjaan dengan baik,” katanya, sambil menambah syarikat itu tidak pernah melanggar syarat kontrak dan telah memberikan perkhidmatan terbaiknya kepada kerajaan.
Tambah Khoo penamatan itu akan mempengaruhi kemampuan Dhaya Maju-LTAT untuk bersaing dalam projek tempatan dan asing pada masa akan datang.
“Reputasi, kredibiliti dan kedudukan kami dalam industri kecil dan khusus dipertaruhkan. Semua ini tidak terhitung,” katanya.
Hakim Lim Chong Fong menetapkan 4 Jun sebagai tarikh keputusan permohonan injunksi Dhaya Maju-LTAT.
Sebelum perbicaraan dimulakan hari ini, Lim telah bertanya kepada peguam apakah mereka sedang merundingkan penyelesaian.
Khoo menjawab wakil syarikat telah bertemu pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Pengangkutan pada awal minggu ini. Katanya, Peguam Negara Idrus Harun juga hadir.
Asliza mengesahkan bahawa mesyuarat telah berlangsung dan sebarang keputusan mengenai perkara itu akan dibincangkan oleh Kabinet.
Katanya Jabatan Peguam Negara telah diarahkan untuk meneruskan perbicaraan.
KVDT2 adalah satu daripada 101 projek yang menelan belanja RM6.61 bilion yang didakwa oleh kerajaan Perikatan Nasional di Parlimen telah diberikan melalui rundingan langsung semasa pemerintahan Pakatan Harapan.
Projek ini merangkumi 110km, melibatkan dua landasan keretapi KTM – satu dari Salak Selatan ke Seremban dan satu lagi dari Kuala Lumpur Sentral dan Angkasapuri ke Pelabuhan Klang.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan memberitahu Parlimen kerajaan terbuka untuk melakukan rundingan semula dengan Dhaya Maju-LTAT untuk mencapai penyelesaian yang bersifat “menang-menang”.