Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol di 3 lebuh raya tahun ini, kata menteri

Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol di 3 lebuh raya tahun ini, kata menteri

Penangguhan melibatkan Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Lembah Kelang Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2.

Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 adalah antara lebuh raya yang tidak mengalami kenaikan kadar tol tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol sepanjang tahun 2021 selepas mengambil kira kesan penularan wabak Covid-19 ke atas kehidupan rakyat.

Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata, keputusan penangguhan itu melibatkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari 2021, iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

“Penangguhan kenaikan kadar tol adalah bagi tahun 2021, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan.

Fadillah turut memaklumkan terdapat lebuh raya dan plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol yang dipersetujui sebelum ini.

Ia membabitkan 21 lebuh raya dan 1 plaza tol melibatkan semua kelas kenderaan, antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

“Satu lebuh raya dan dua plaza tol ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 1 dan Kelas 5 sahaja. Satu lebuh raya dan tiga plaza tol ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 5 sahaja dan satu lebuh raya ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5 sahaja,” katanya.

Kata Fadillah, susulan penangguhan berkenaan anggaran pampasan yang perlu ditanggung oleh kerajaan ialah sebanyak RM2.25 bilion dan rundingan untuk menstruktur semula kadar tol dengan syarikat konsesi masih lagi berjalan, dengan Jemaah Menteri bersetuju untuk ia dimuktamadkan sebelum 2023.

“Anggaran pampasan ini adalah berdasarkan formula pengiraan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.