
Rakyat pelbagai bangsa dari pelbagai latar belakang mendesak kerajaan mengambil langkah menghentikan keganasan polis dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).
“Keganasan polis di Malaysia! Mari kita bersuara,” seru “Iffah Garib” di Twitter.
“Satu nyawa hilang akibat keganasan polis, dan Ganapathy bukan satu-satunya. Mari didik diri kita tentang keganasan polis di Malaysia,” kata “Syaf” pula di platform media sosial yang sama.
“Jika anda bersuara tentang George Floyd dan #BlackLivesMatter, jangan lupa untuk bersuara bagi pihak ramai lagi yang dipukul sehingga mati dalam tahanan polis,” kata “Joshua Navin” pula.
Dia juga menyenaraikan ramai lagi rakyat Malaysia yang meninggal dunia dalam tahanan polis sebelum ini, antaranya ialah Kugan Ananthan (2009), Sugumar Chelladury (2013), Karuna Nithi Palani Velu (2013), Dharmandran Narayansamy (2013) dan Balamurugan Suppiah (2017).
Golongan belia, termasuk Ahli Parlimen Muar Saddiq Syed Abdul Rahman, membawa isu ini ke TikTok, dalam klip video berdurasi beberapa minit menyeru agar keadilan ditegakkan buat Ganapathy.
Kata Syed Saddiq, Ganapathy dipukul dengan paip getah semasa berada dalam tahanan polis selama 12 hari, dan beliau mengingatkan pengikutnya di platform media sosial itu bahawa ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Lebih ramai orang India mati dalam tahanan polis. Sekalipun mereka bersalah, mereka berhak dilayan dengan perikemanusiaan,” kata beliau dalam video Tiktok berdurasi hampir seminit dalam Bahasa Inggeris.
Seorang lagi gadis juga bersuara tentang keganasan yang menyebabkan seorang ibu kehilangan anaknya.
“Tatap lah mata ibu itu selepas dia tiba-tiba kehilangan anaknya yang berada dalam tahanan polis selama 12 hari,” katanya, sambil juga menyeru rakyat Malaysia menggesa penubuhan IPCMC bagi menghentikan keganasan polis.
Cedera serius ketika berada dalam tahanan polis
Ganapathy, yang mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun, meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April, lebih sebulan selepas dia dimasukkan ke hospital.
Peguam K Ganesh memberitahu FMT, Ganapathy meninggal dunia akibat kecederaan di kaki dan bahunya ketika berada dalam tahanan polis.
Hasil bedah siasat, yang dijalankan selama tujuh hingga lapan jam oleh Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur, dimaklumkan kepada beliau semalam, katanya.
“Ahli patologi memberitahu saya Ganapathy meninggal dunia akibat kecederaan serius di kaki. Dia juga mengalami kecederaan di belakang badan dan bahagian hadapan bahunya,” kata Ganesh.
Kecederaan yang dialami Ganapathy begitu serius sehingga keseluruhan kaki kirinya terpaksa dipotong untuk menyelamatkan nyawanya.
Kata Ganesh, keluarga Ganapathy kini menunggu hasil lengkap bedah siasat sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Peguam itu berkata, beliau telah meminta pegawai penyiasat, yang juga hadir ketika hasil bedah siasat dimaklumkan, untuk memburu mereka yang bertanggungjawab atas kematian Ganapathy.
“Sepatutnya mereka tidak berdepan sebarang halangan kerana ia berlaku dalam kawasan mereka (dalam tahanan polis),” tambah beliau.
Media melaporkan ibu Ganapathy, S Thanaletchumy, 60, membuat laporan polis pada 11 Mac, dengan berkata anaknya ditahan pada 24 Feb bagi membantu siasatan berhubung salah seorang adik beradiknya.
Dalam laporan tersebut, Thanaletchumy mendakwa anaknya sihat, kecuali menghidap diabetes.
Wanita itu juga berkata, anaknya telah memaklumkan dia dipukul dengan paip getah oleh polis.
Kumpulan hak asasi telah menyeru agar keganasan polis terhadap tahanan dihentikan, dan agar budaya keganasan dan taktik penderaan untuk memaksa suspek membuat pengakuan dikaji semula.