
Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, lereng bukit di situ telah dipotong teres, kemungkinan untuk tujuan pertanian.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat lokasi berdekatan Persiaran Sungai Emas 3 itu kerana ia adalah pemusnahan kawasan hutan dengan sengaja.
“Sekiranya hujan lebat dan berterusan, kemungkinan berlaku kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah adalah tinggi,” kata beliau dalam kenyataan.
Meenakshi berkata, pihak berkuasa juga mesti mendedahkan kepada orang ramai sekiranya kerja tanah di situ melanggar Akta Pemuliharaan Tanah 1960, yang berkaitan dengan pemuliharaan bukit dan perlindungan daripada hakisan tanah.
Kata beliau, pihak berkuasa perlu bertindak pantas kerana terdapat “banyak lereng bukit yang dibersihkan” di banjaran bukit di situ dan bahagian lain di pulau tersebut.
“Bukit-bukau adalah amat sensitif dan tragedi masa lalu harus dijadikan pengajaran. Kita perlu menjaga dan melindungi ekosistem bukit kita untuk kebaikan semua,” kata beliau.
Semakan FMT menerusi Google Earth mendapati pembersihan dijalankan di tanah bukit yang terletak 170m dari paras laut dan merangkumi kawasan hampir 1 hektar.
Sebuah jalan masuk ke kawasan yang dibersihkan itu juga dapat dilihat.
FMT telah menghubungi Dewan Bandaraya Pulau Pinang bagi mendapatkan komen.