
“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Zeti atas kepemimpinan berwawasan dan sumbangan tidak ternilainya kepada PNB, Amanah Saham Nasional Bhd dan syarikat kumpulan PNB sepanjang tiga tahun.
“Beliau membawa bersamanya hampir empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pengukuhan institusi, yang telah memberi banyak manfaat kepada PNB,” katanya dipetik Bernama.
Terdahulu, PNB mengumumkan bahawa Zeti tidak akan memperbaharui tempoh jawatan sebagai pengerusi kumpulan itu selepas penggal tiga tahunnya tamat esok.
Zeti telah menulis surat secara rasmi kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) bagi menyatakan perkara itu.
PNB berkata, pelantikan pengerusi kumpulan baharu akan diputuskan YPB dalam masa terdekat.
Tambahnya, sejak pelantikan pada 2018, Zeti telah memacu perjalanan transformasi PNB, yang menyaksikan institusi itu mencapai kemajuan besar dalam tiga bidang utama.
Katanya, usaha kepelbagaian ke dalam kelas aset dan pasaran global yang lebih luas mendorong pendedahan PNB dalam aset antarabangsa meningkat kepada 12.3% pada akhir 2020 sekali gus mengukuhkan portfolio pelaburannya daripada hanya tertumpu dalam ekuiti domestik.
“PNB (juga) berjaya mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko dan kecairannya, dengan fokus menurunkan peratusan pegangan tunai yang tinggi hasil pengurusan pendedahan risiko pertukaran asing lebih besar.
“Akhir sekali, PNB telah memulakan transformasi organisasi di seluruh kumpulan yang menghasilkan inovasi digital, kecekapan operasi dan pengembangan bakat menerusi pelbagai inisiatif,” kata syarikat pengurusan dana terbesar Malaysia itu.
Sementara itu, Zeti dalam kenyataan menyifatkan kesempatan berkhidmat sebagai pengerusi kumpulan PNB satu penghormatan besar.
Katanya, selama tiga tahun beliau telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami.
“Agenda transformasi ini telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi.
“PNB kini dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami,” katanya.