Kenyataan terbuka berkait agihan kerusi boleh jejas reputasi GRS, kata penganalisis

Kenyataan terbuka berkait agihan kerusi boleh jejas reputasi GRS, kata penganalisis

Lebih baik duduk semeja sebagai rakan dalam satu gabungan bagi menyelesaikan isu tuntutan kerusi.

Penganalisis berkata, hubungan antara parti dalam GRS unik kerana sebelum ini berlaku ‘pertandingan persahabatan’ antara mereka pada pilihan raya negeri lepas.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berkata, parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu berhenti membuat kenyataan terbuka, khususnya berkaitan kerusi pilihan raya kerana ia bakal menjejaskan reputasi, selain mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, adalah lebih baik sebagai rakan dalam satu gabungan parti dalam GRS duduk semeja bagi menyelesaikan isu tuntutan kerusi daripada membuat kenyataan terbuka.

”Ia boleh mendatangkan kesan kurang baik dari aspek pandangan umum mengenai kerjasama politik semasa.

”Selesaikanlah hal ini (soal tuntutan kerusi) secara berhemah menerusi pertemuan dua hala, mungkin juga pihak terlibat boleh mencadangkan supaya diwujudkan tambahan satu kerusi Parlimen di kawasan berkaitan.

Romzi Ationg.

”PBS berhak menyuarakan pandangan berkaitan kerusi begitu juga dengan STAR. Tetapi biarlah mereka selesaikan isu ini secara berhemah dan tiada pihak yang rugi,” katanya kepada FMT.

Presiden PBS, Maximus Ongkili baru-baru ini berkata, parti itu mahu mempertahankan kerusi tradisinya di Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Kenyataan beliau itu bagaimanapun mengundang rasa tidak senang hati dalam kalangan pemimpin STAR.

Setiausaha agung parti itu, Guan Dee Koh Hoi berkata, mereka faham keinginan PBS untuk mengimbas kembali sejarah, tetapi adalah tidak adil sekiranya STAR menyerahkan kerusi yang menjadi kubu kuat mereka di kawasan pedalaman Sabah itu.

Bagaimanapun Presiden STAR, Jeffrey Kitingan yang juga wakil rakyat di kedua-dua kawasan itu berpendapat tuntutan PBS itu perkara biasa dalam politik dan STAR perlu menganggapnya sebagai satu peringatan agar berusaha lebih kuat untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Katanya, walaupun PBS menyimpan hasrat untuk ”merampas” semula kerusi Parlimen Keningau dan DUN Tambunan, STAR tetap akan mempertahankan kawasan berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Lee Kok Tiung.

Sementara itu Lee Kuok Tiung juga dari UMS berpendapat, reaksi STAR berhubung hasrat PBS untuk bertanding semula di Keningau dan Tambunan menampakkan parti itu mengiktiraf kekuatan PBS.

Katanya, STAR melihat PBS sebagai ancaman kepada mereka kerana ia kelihatan “panik” selepas mendengar kenyataan Maximus itu.

“Bagaimanapun hubungan dalam GRS unik kerana sebelum ini kita menyaksikan “friendly match” pada PRN (pilihan raya negeri) lalu, seperti yang dikatakan Jahid Jahim (timbalan presiden PBS), siapa “radu” siapa sebenarnya?

“Pada PRN lalu, kita juga melihat STAR ‘memasang’ orang untuk melawan PBS seperti di Matunggong, Tandek dan Inanam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.