
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, ini mewujudkan keperluan untuk lebih ramai usahawan kraf.
Beliau berkata, usaha kementeriannya mempromosikan kraftangan Orang Asal membuahkan hasil dengan usahawan kini meraih jualan bagus ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Kementeriannya menubuhkan e-bazar ketika PKP untuk menjual kraftangan, dengan sasaran awal jualan ialah RM200 juta.
“Dari Mac hingga November tahun lalu, kami menjual produk berjumlah RM216 juta, semuanya dihasilkan usahawan tempatan,” katanya semasa lawatan kerja lima hari ke Sabah baru-baru ini.
Lawatan itu dikelolakan oleh Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB).
Nancy berkata, kerajaan turut membantu usahawan kraf tempatan melalui pembelian mesin menenun kain atau bahan mentah di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi kerajaan.
Katanya, hasil jualan kraf Malaysia dari 2018 hingga 2020 berjumlah RM1.2 bilion, daripada jumlah itu, Sabah menyumbang RM113 juta.
“Sebelum ini, keadaannya berbeza. Kini, ia dijual dalam talian, untuk pasaran tempatan dan luar negara.”
Beliau berkata, ketika pandemik Covid-19, permintaan untuk kraftangan meningkat disebabkan lebih banyak pemasaran dalam talian dilakukan kementeriannya untuk menarik pembeli luar negara.
Katanya, Kampus Satelit Institut Kraf Negara di Sabah yang terletak di Kota Belud, dikendalikan Kraftangan Malaysia bersama kementeriannya, bertujuan melatih belia Sabah dalam bidang kraf, dengan pengambilan pertama 18 peserta daripada masyarakat Bajau, Dusun dan Murut di Sabah.
Nancy berkata, institut itu akan membuka pintunya tidak lama lagi kepada lebih ramai rakyat Sabah untuk menyertai program kraf di peringkat sijil dan diploma.
Negeri itu turut mempunyai komuniti kraf terbesar di Malaysia, dengan 2,103 daripada 6,000 usahawan di seluruh negara berasal dari Sabah.
Mereka yang berminat membeli atau menjual hasil kraftangan mereka boleh mendaftar dengan laman e-bazar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di www.mycraftshoppe.com.