GPMS sokong mansuh UPSR, harap tiada polemik, pertikaian

GPMS sokong mansuh UPSR, harap tiada polemik, pertikaian

Keputusan itu akan menjadikan sistem Penilaian Bilik Darjah (PBD) lebih terbuka dan relevan kepada semua tahap kemampuan murid.

Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia memuktamadkan untuk memansuhkan UPSR, manakala ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan tahun ini. (Gambar Bernama) 
PETALING JAYA:
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presidennya Mohd Alif Anas Md Noor berkata, keputusan itu akan menjadikan sistem Penilaian Bilik Darjah (PBD) lebih terbuka dan relevan kepada semua tahap kemampuan murid.

“Murid akan dinilai dengan lebih konklusif tanpa pemikiran berasaskan peperiksaan yang dilihat terlalu memberi tekanan.

“GPMS melihat bahawa kejayaan seseorang murid tidak boleh dinilai hanya menerusi akademik sahaja. Kita semua mesti adil dan saksama dalam menerima bahawa kemenjadian seseorang murid itu mesti dinilai secara holistik sama ada dari segi akademik, kokurikulum, ko-akademik, kepimpinan, sahsiah dan kesihatan fizikal,” katanya kepada FMT.

Presiden GPMS Mohd Alif Anas Md Noor.

Semalam, KPM memuktamadkan untuk memansuhkan UPSR, manakala ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan tahun ini.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, kementerian itu akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah mulai tahun ini susulan pemansuhan UPSR.

Dalam pada itu Alif berharap tiada lagi polemik dan juga pertikaian mengenai keputusan yang sudah dibuat oleh KPM.

Katanya, GPMS menyeru agar semua pihak terutama guru dan ibu bapa supaya berganding bahu merencana laluan terbaik buat murid agar mereka menempa kejayaan lebih cemerlang.

UPSR diperkenalkan pada 1988, dan cadangan untuk memansuhkannya dibuat pada 2010 oleh menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin yang menganggap ia mewujudkan suasana pembelajaran lebih berorientasikan peperiksaan, berbanding memastikan murid mendapat pembelajaran lebih holistik.

Sebelum ini pendidik yang menyokong UPSR dimansuhkan berkata, sistem pendidikan yang terlalu memfokuskan kepada peperiksaan mengakibatkan murid lazimnya sekadar menghafal sebelum meluahkan semula jawapan dalam peperiksaan, tanpa mengambil masa untuk benar-benar memahami pelajaran mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.