
T Harpal Singh berkata, polis tidak boleh bergantung pada SOSMA untuk menyiasat dakwaan jenayah komersial.
“Undang-undang prosedur digubal bagi menyiasat jenayah ganas terancang,” kata Harpal kepada FMT selepas menemui pegawai itu yang kini ditahan oleh polis Johor.
SOSMA membenarkan polis menahan suspek sehingga 28 hari berbanding tempoh maksimum 14 hari bawah Kanun Acara Jenayah.
“Kami percaya penahanan klien kami tidak sah dan merupakan penyalahgunaan kuasa oleh polis,” katanya dengan menambah bahawa kertas mahkamah akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
Selain itu Harpal berkata, walaupun pegawai polis diberi kuasa bawah Seksyen 4(5) SOSMA bagi menahan suspek untuk siasatan, namun terdapat batasan dalam undang-undang itu.
Beliau berkata, Seksyen 4(11) SOSMA menetapkan bahawa subseksyen (5) hendaklah disemak semula setiap lima tahun dan akan menjadi tidak berkesan melainkan selepas semakan semula dan satu keputusan dibuat oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk melanjutkan tempoh penggunaan peruntukan itu.
Beliau berkata, SOSMA diwartakan pada 22 Jun 2012 dan pindaan itu tidak disemak semula atau diwartakan.
“Justeru, hak penahanan yang diberikan kepada pegawai polis tidak lagi berkesan pada Jun 2017,” katanya.
Harpal berkata, kliennya ditahan oleh polis Melaka Tengah pada Selasa dan ditahan di Johor Bahru, sekali gus menjadikannya isu “bidang kuasa”.
“Kesalahan didakwa dilakukan di Ampang, Selangor. Klien saya seharusnya diserahkan kepada polis daerah terbabit untuk disiasat,” katanya.
Pada Selasa, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terbabit dengan “geng Nicky”.
Beliau berkata, mereka disiasat atas dakwaan penipuan dan pengubahan wang.
Pada 30 Mac, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, 34 anggota beruniform dan agensi penguatkuasaan disyaki bersubahat dengan geng tersebut.
Laporan terbaharu menyebut siasatan menunjukkan Liow, 33, kali terakhir dilihat di Setiawalk, Puchong pada 20 Mac. Beliau dipercayai bersembunyi dalam negara dan melarikan diri dengan beberapa beg wang tunai.
Polis memperoleh Notis Merah Interpol untuk mengesan dan menahan Liow serta pembantu warga Chinanya, Niu Zhi, 31.
Pada 9 April, Liow dan adiknya didakwa tanpa hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana terlibat dalam kumpulan jenayah terancang.