Veteran tak berpencen juga dapat bantuan Raya RM250

Veteran tak berpencen juga dapat bantuan Raya RM250

Kategori itu turut disenaraikan untuk menerima bantuan berkenaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, bersama kakitangan awam dan pesara.

Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, kategori bekas pekerja kerajaan itu turut termasuk dalam senarai kakitangan awam dan pesara kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira 180,000 bekas kakitangan tidak berpencen juga akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2021 sebanyak RM250 untuk mengurangkan beban mereka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata dalam pekeliling minggu lepas, kategori bekas pekerja kerajaan itu turut termasuk dalam senarai kakitangan awam dan pesara kerajaan.

Ini akan menelan kos tambahan RM45 juta untuk kerajaan.

Minggu lepas, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kakitangan kerajaan sehingga Gred 56 akan menerima bantuan khas Hari Raya berjumlah RM500 setiap seorang, dengan pesara mendapat RM250.

Katanya, bayaran akan dikreditkan pada 6 Mei bersama gaji bulanan yang dimasukkan awal sempena sambutan Aidilfitri pada 15 Mei.

“Bantuan ini adalah satu bentuk penghargaan atas pengorbanan kakitangan awam yang terus berkhidmat terutama dalam keadaan mencabar ini.

“Bantuan berkenaan diberi lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya, kerana kerajaan mahu membantu mereka dengan persiapan Hari Raya.

“Kerajaan berharap bantuan khas ini akan meringankan bebanan kakitangan awam dan menyuntik motivasi untuk mereka terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.

Bantuan RM500 itu turut diberikan kepada kakitangan kontrak dan sementara, selain pelantikan di bawah Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.