Sultan Johor masak bubur lambuk untuk rakyat, pesakit kanser

Sultan Johor masak bubur lambuk untuk rakyat, pesakit kanser

Sebanyak 200 paket bubur lambuk dari Istana Johor akan disampaikan kepada pesakit kanser di HSA dan HSI.

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa hampir sejam memasak bubur lambuk bersama kakitangan istana. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
JOHOR BAHRU:
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan memasak bubur lambuk di Istana Pasir Pelangi untuk diagihkan kepada pesakit kanser di dua hospital utama di bandar raya ini dan juga orang ramai.

Menurut catatan di Facebook baginda, sebanyak 200 paket bubur lambuk dari Istana Johor akan disampaikan kepada pesakit kanser di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala 1,100 paket disampaikan kepada rakyat di daerah Kluang.

“Bubur lambuk yang dimasak hari ini akan disampaikan kepada rakyat dan juga pesakit kanser menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor,” titah Sultan Ibrahim di Facebook.

Program memasak bubur lambuk yang turut disertai Sultan Ibrahim bukan kali pertama diadakan, namun tahun ini menyaksikan sedikit kelainan apabila baginda menggunakan kayu pengacau khas bagi menyediakan juadah itu.

“Pengacau berkenaan yang diperbuat daripada kayu giam, turut dilengkapi hiasan ‘epoxy resin’ khas logo Sultan Ibrahim tahun 2021 dibuat oleh tukang kayu peribadi baginda di Mersing,” menurut catatan di Facebook itu.

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa hampir sejam memasak bubur lambuk bersama kakitangan istana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.