Siasatan ‘Geng Nicky’: Pegawai pangkat DSP dari IPD Melaka Tengah ditahan

Siasatan ‘Geng Nicky’: Pegawai pangkat DSP dari IPD Melaka Tengah ditahan

Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah berusia 43 tahun disiasat polis Johor berkaitan kumpulan jenayah terancang itu.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya akan bekerjasama penuh dan tidak berkompromi dengan anggota atau pegawai yang terlibat dengan kumpulan itu. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Polis Melaka hari ini mengesahkan seorang pegawainya berpangkat DSP dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, ditahan polis Johor kerana disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky”.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis Johor bagi membantu siasatan lanjut, dan tidak akan berkompromi dengan anggota atau pegawai yang terlibat dengan kumpulan jenayah terancang itu.

“Saya sebagai Ketua Polis Melaka tidak akan melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang bertugas di Melaka sama ada terlibat dalam sindiket jenayah atau rentas sempadan.

“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap apa juga siasatan yang melibatkan pegawai dan anggota di kontinjen ini,” kata beliau selepas Program Pengedaran Bubur Lambuk kepada Masyarakat Sempena Sambutan Hari Polis ke-214 di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut mengenai penahanan pegawai berusia 43 tahun dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa polis Johor.

Dalam pada itu, kata beliau, anggota dan pegawai polis di Melaka digesa meletak tepi kepentingan diri dan mendahulukan pasukan agar polis tidak dicemuh atau dipandang hina oleh masyarakat.

Semalam, media melaporkan 12 pegawai agensi penguat kuasa, termasuk seorang berpangkat Superintendan disyaki terbabit “Geng Nicky” , ditahan melalui Op Pelican 3.0 sejak 21 April lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata, semua suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun, termasuk dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.