Program vaksinasi di Sarawak dijangka selesai Ogos, kata KJ

Program vaksinasi di Sarawak dijangka selesai Ogos, kata KJ

Ia berikutan negeri itu perlu mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh berkenaan.

Khairy berkata Sarawak perlu mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh berkenaan.
PETALING JAYA:
Program vaksinasi di Sarawak dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos ini, memandangkan negeri itu perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh berkenaan.

“Saya telah memberi jaminan kepada kerajaan negeri Sarawak bahawa kita akan selesaikan vaksinasi di Sarawak selewatnya-lewatnya bulan Ogos tahun ni,” kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada sidang media mengenai perkembangan program vaksinasi hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Khairy berkata, bekalan tambahan vaksin AstraZeneca akan tiba ke negara ini pada Mei untuk tindakan pemberian dos kedua.

“Saya juga telah tawarkan untuk Sarawak bagi vaksin ini berikutan mereka akan berdepan pilihan raya negeri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap peningkatan kes di Sarawak, Adham berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan RM7.7 juta untuk Hospital Umum Sarawak dan RM9.8 juta bagi Hospital Sibu bagi tujuan pembelian peralatan dan penambahan fasiliti termasuk katil ICU dan ventilator.

Katanya, lapan hospital umum di negeri itu juga bersedia merawat pesakit Covid-19 dengan kapasiti 914 katil manakala kadar penggunaan ketika ini 68%.

“Selain itu, kita juga mempunyai 38 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan juga tiga PKRC tahanan yang sedang beroperasi secara aktif dengan kapasiti 6,532 katil.

“Kadar penggunaan PKRC ketika ini adalah 56%,” katanya.

Sarawak mencatatkan 432 kes baharu semalam dengan jumlah kes aktif sebanyak 5,685. Sehingga kini, negeri itu merekodkan 28,961 kes Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.