
Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Port Dickson dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek, seorang penganalisis data, membuat laporan palsu bagi membolehkannya menuntut insurans untuk kegunaan majlis perkahwinannya.
“Pada awalnya, lelaki itu membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaan jenis Subaru Forester miliknya di perkarangan parkir Lukut Prima, Port Dickson pada 20 April lalu,” kata Aidi Sham dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, lelaki itu mendakwa meletak kenderaan di kawasan tersebut sekitar pukul 8 malam untuk makan bersama rakan.
“Apabila kembali ke kereta sejam kemudian, dia mendapati keretanya tiada di tempat parkir,” kata beliau.
Bagaimanapun, Aidi Sham berkata, penipuan itu terbongkar setelah siasatan lanjut polis pada Isnin mendapati lelaki itu sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan keretanya yang sebenarnya disimpan di tempat lain.
Susulan itu, dengan dipandukan lelaki itu, polis menemukan semula kereta yang disorokkan di belakang bangunan sebuah pasaraya di Lukut, kata beliau.
“Lelaki itu kini masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hingga esok,” kata beliau.
Kes disiasat bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.