
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin Mohd Isa Bidin dipetik Bernama berkata, kejadian pada 11.15 pagi itu berlaku ketika ibu mereka yang hanya dikenali sebagai Liswati, 37, dalam perjalanan pulang ke rumah di ladang kelapa bersama dua anaknya, Dhenis Maulida Puteri Masari, 7, serta Puteri Ramadhania Azzahra, 3.
Kata beliau, mereka baru mengambil Dhenis Maulida Puteri dari prasekolah di SK Keratong 1.
“Motosikal yang ditunggang mereka dikatakan hilang imbangan kira-kira 5m lagi hendak sampai ke tebing menyebabkan mereka terjatuh.
“Dua mangsa yang masih kecil terus terjerumus ke dalam sungai,” kata Mohd Isa.
“Terdapat jaring yang dipasang pada kiri dan kanan jambatan gantung itu tetapi difahamkan akibat kurang penyelenggaran, terdapat lubang besar di beberapa tempat sepanjang jambatan.”
Ibu terbabit terselamat selepas tersangkut di jaring.
Mohd Isa berkata, jambatan itu sering digunakan penduduk setempat sebagai laluan pintas memandangkan jalan raya agak jauh.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan 30 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, kata beliau.