
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan kelancaran sambutan semasa musim perayaan.
“Kami akan laksanakan kawalan pergerakan seperti yang telah dilaksanakan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu walaupun tiada arahan PKP dikeluarkan.
“Seperti tahun lalu, seramai 46,000 anggota telah ditugaskan dan 12,000 yang lain dalam mode ‘standby’,” kata beliau pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Abdul Hamid berkata, polis juga memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) di setiap plaza tol pada Aidilfitri ini bagi mengelakkan berlakunya rentas negeri.
“Sejak beberapa hari kebelakangan Ini, jumlah mereka yang didapati positif Covid-19 setiap hari kekal berada pada tahap yang begitu tinggi.
“Tidak mustahil ia akan berganda sekiranya kita cuai,” kata beliau.
Hamid berkata lagi, anggota polis dalam mode “standby” semasa Aidilfitri akan digerakkan bersama anggota yang bertugas sekiranya keadaan semasa musim perayaan tidak dapat dikawal.
“Sekiranya keadaan menjadi gawat, 12,000 pegawai dan anggota polis dalam mode ‘standby’ akan dikerah untuk membantu, bersama Angkatan Tentera Malaysia, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam,” kata beliau.
Mengulas mengenai isu polis menerima kecaman pengguna jalan raya kerana berlaku kesesakan di SJR, Hamid menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab.
“Kami dikecam kerana dikatakan sengaja menyebabkan jalan menjadi sesak. Saya sedih kerana perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat kami,” kata beliau.
Beliau berkata, orang ramai seharusnya faham mengenai pentingnya SJR dilaksanakan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah memutuskan rantaian Covid-19 dan mengelakkan pergerakan merentas negeri.