Vaksin AstraZeneca hanya diberi kepada individu secara sukarela

Vaksin AstraZeneca hanya diberi kepada individu secara sukarela

Ketetapan itu dibuat selepas mendapati terdapat kebimbangan dan kegusaran orang awam terhadap keberkesanan vaksin AstraZeneca.

(Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kerajaan memutuskan vaksin AstraZeneca hanya akan diberi kepada individu berumur 18 tahun ke atas yang secara sukarela tampil bagi mendapatkan vaksin berkenaan menerusi satu program khas, walaupun ia masih sebahagian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata ketetapan itu dibuat susulan mendapati terdapat kebimbangan dan kegusaran orang awam terhadap kesan sampingan vaksin yang dijadual digunakan pada Fasa 2 program imunisasi itu.

Katanya, pemberian vaksin berkenaan mengguna pakai konsep “siapa cepat dia dapat” yang terbuka kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, kita akan buat penilaian kesihatan terlebih dahulu dan setelah didapati layak mereka akan diberi vaksin berkenaan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mengenai perkembangan program vaksinasi hari ini.

Khairy berkata, satu sistem tempahan akan dibuka untuk orang ramai membuat tempahan janji temu berkenaan.

“Sebanyak 268,600 dos yang diterima minggu lalu akan digunakan bagi program khas ini dan pemilihan Selangor dan Kuala Lumpur dibuat selepas melihat kepada data kes positif yang masih tinggi di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, program khas berkenaan juga dilaksanakan agar tidak berlaku pembaziran berikutan vaksin berkenaan sudah pun berada dalam simpanan negara.

“Kita tidak mahu membazirkan vaksin ini yang berkesan dan selamat tetapi pada masa sama kita faham sains dan fakta tak dapat atasi berita palsu dan kebimbangan orang ramai.

“Selepas berbincang, kita setuju untuk mengambil langkah proaktif ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, vaksin Sonivac dan Pfizer-BioNTech akan terus digunakan dalam Fasa 2 PICK yang telah bermula 19 Apr lalu.

Vaksin AstraZeneca yang dibangunkan secara bersama Universiti Oxford dan syarikat farmaseutikal Sweden-British itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan beberapa negara yang sudah menggunakannya susulan terdapat laporan pembekuan darah terhadap sebilangan kecil penerima dos berkenaan.

Berdasarkan dapatan kajian di seluruh negara yang menggunakan vaksin berkenaan, hanya empat daripada 1 juta kes berlaku pembekuan darah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.