Suhakam minta mangsa ‘pemeriksaan haid’ tampil dedah nama sekolah

Suhakam minta mangsa ‘pemeriksaan haid’ tampil dedah nama sekolah

Pesuruhjaya kanak-kanak itu turut menggesa supaya penghantar emel menamakan sekolah dan guru yang terlibat melakukan pemeriksaan berkenaan.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Noor Aziah meminta lebih banyak maklumat, sementara bekas timbalan menteri Teo Nie Ching berkata menteri perlu bercakap dengan mangsa.
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendesak mereka yang terkesan dengan “pemeriksaan haid” di sekolah supaya tampil menceritakan pengalaman mereka.

Noor Aziah Mohd Awal berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) melalui emel di [email protected]

“Sila emelkan nama sekolah dan siapa yang melakukan pemeriksaan. OCC di Suhakam akan mengumpulkan data,” katanya.

Gesaan untuk mendapatkan maklumat dibuat selepas Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata siasatan awal tidak menemui sebarang bukti wujudnya pemeriksaan seperti didakwa.

“Ketika ini kami sedang mengumpul maklumat, kami memeriksa satu persatu, kami juga telah meminta semua bahagian dan jawapannya tidak (wujud amalan seperti itu),” katanya semalam.

Radzi menambah tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya perincian lengkap mengenai dakwaan itu dikemukakan.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching memberitahu FMT bahawa respons menteri itu “mengecewakan”.

Jelas beliau, pelakunya susah untuk mengaku, sambil menambah penafian tidak akan membantu mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan di Malaysia.

“Beliau (Radzi) perlu terlibat, berjumpa atau bercakap dengan mangsa, dan mewujudkan saluran untuk para pelajar menceritakan kisah mereka. Kecuali jika beliau menganggap semua ini adalah rekaan. ”

Teo juga mendesak Radzi untuk mengeluarkan arahan yang jelas supaya guru berhenti melakukan “pemeriksaan haid” untuk menunjukkan pendirian kementeriannya terhadap gangguan seksual dan penyalahgunaan kuasa.

FMT sebelum ini melaporkan kisah beberapa pelajar Malaysia yang mendedahkan penderitaan yang mereka hadapi di sekolah awam, termasuk “pemeriksaan haid”, gangguan seksual dan tindakan menjatuhkan maruah secara terbuka.

Pelajar melaporkan bagaimana segelintir guru agama (ustazah), ragu-ragu jika mereka berada dalam tempoh haid, menyebabkan mereka mahu memeriksa tuala wanita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.