
Ketuanya Felix Joseph Saang berkata, isu berkenaan antara perkara utama dijanjikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri (PRN) lalu termasuk oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang berjanji akan segera mengusir ‘kumpit-kumpit’ sekiranya GRS berjaya menubuhkan kerajaan.
Hamzah ketika berkempen pada PRN lalu menggunakan perkataan ‘kumpit-kumpit’ merujuk kepada PATI yang ada di Sabah.
“Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya dan belum ada usaha jelas untuk menangani masalah PATI di Sabah,” katanya, di sini hari ini.
Felix mengulas laporan media mengenai lapan lelaki warga Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan kerana menggunakan kad pengenalan palsu.
Beliau berkata, selain pemberian dokumen IMM13, terdapat juga warga asing memperolehi kad pengenalan palsu daripada ejen-ejen di Sabah.
“Perkara ini amat membimbangkan rakyat Sabah, sebab itu rakyat berhak mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku dan apa usaha kerajaan hari ini untuk menangani masalah ‘kumpit-kumpit’ ini,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan lapan lelaki warga warga Filipina berusia antara 23 hingga 58 tahun ditahan dalam Operasi Terancang di Stadium Merdeka di ibu negara.
Siasatan mendapati kesemua warga asing itu memperolehi kad pengenalan palsu dari ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Tindakan tegas perlu diambil terhadap ejen-ejen tidak bertanggungjawab. Kita juga berharap janji kerajaan GRS untuk menghantar pulang ‘kumpit-kumpit’ ini dilaksanakan segera,” katanya.