
Ditanya sama ada hubungan kedua-dua parti berubah akibat kenyataan PBS baru-baru ini berhubung kerusi Keningau dan Tambunan, Kitingan mengakui ada perbezaan pendapat dan keutamaan dalam politik.
“Bagi saya, itu normal tetapi kami berada dalam kerajaan sama di peringkat negeri dan persekutuan.
“Jadi, fokus sepatutnya mengenai cara bekerjasama dan meningkatkan sinergi – jangan mengeluarkan kenyataan yang akan memecahbelahkan kita, itu pendirian saya,” kata timbalan ketua menteri Sabah itu selepas melancarkan inisiatif koperasi STAR.
Minggu lalu, Presiden PBS, Maximus Ongkili berkata, parti itu bersiap sedia untuk mempertahankan kerusi Keningau, yang secara tradisinya dipegang parti itu.
Walaupun beliau tidak membuat tuntutan secara terang-terangan ke atas kerusi Tambunan, Ongkili berkata, PBS dilahirkan di Tambunan yang akan terus menjadi pangkalan politik parti itu, walaupun ia tewas kepada STAR pada pilihan raya umum 2018.
Kitingan, yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan, membalas dengan berkata STAR berhasrat mempertahankan kerusi itu daripada sebarang cubaan PBS untuk menuntutnya semula.
Sementara itu, Kitingan enggan mengulas kenyataan seorang pemimpin bahagian STAR di Kota Marudu, di mana Ongkili ialah Ahli Parlimennya, yang parti itu perlu bertanding di kerusi Parlimen itu dan Dewan Undangan Negeri Tandek, jika PBS bertegas menuntut semula kerusi Keningau dan Tambunan.
Setiausaha Penyelaras STAR Kota Marudu, Jovilis Majami menerusi catatan dalam blog berkata, kenyataan PBS itu menunjukkan mereka tidak mahu bekerjasama dengan STAR pada pilihan raya umum atau negeri akan datang.
Katanya, sejarah membuktikan tiada sebuah parti politik di dunia ini yang mampu bertahan selama-lamanya.
“Sebuah parti politik akan melalui tiga fasa – apabila sokongan meningkat, zaman kegemilangannya dan kemudian hilang sokongan,” katanya sambil menambah PBS kini memasuki fasa ketiga.
Beliau berkata, alasan PBS mahukan kerusi Tambunan kerana ia diasaskan di sana tidak masuk akal kerana parti itu tewas kepada STAR pada pilihan raya umum lalu.
“Jika PBS bertegas dengan rancangannya, kami juga mempunyai hak untuk meminta presiden kami bertanding di kerusi Tandek dan Kota Marudu. Kami sudah bersedia menggunakan logo STAR untuk bertanding di kawasan ini.”