Umno akan terus desak Parlimen bersidang secepat mungkin, kata Shahril Hamdan

Umno akan terus desak Parlimen bersidang secepat mungkin, kata Shahril Hamdan

Ketua Penerangan Umno berkata, Parlimen perlu bersidang secepat mungkin sebagai medium imbang dan semak dasar kerajaan.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata, bukan sahaja isu membuktikan keabsahan majoriti kerajaan PN menjadi persoalan, malah banyak perkara lain tidak dapat disahkan kerana Parlimen tidak bersidang.
PUTRAJAYA:
Umno akan terus mendesak kerajaan membenarkan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bersidang dalam masa terdekat bagi memastikan amalan demokrasi kembali subur.

Ketua Penerangannya Shahril Sufian Hamdan, berkata usaha Umno mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan, medium semak dan imbang juga terbantut kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membenarkan Parlimen bersidang dengan alasan darurat.

“Ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 dijunjung, dan hasrat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sejurus situasi Covid-19 terkawal tetap menjadi keutamaan.

“Tetapi semua ini menjadi tergendala selagi Parlimen ditutup dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak dan imbang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bukan sahaja isu membuktikan keabsahan majoriti kerajaan PN menjadi persoalan, malah banyak perkara lain tidak dapat disahkan kerana Parlimen tidak bersidang.

Katanya, jika ada hujah untuk mengadakan pilihan raya sebagai jalan keluar daripada kemelut politik, ia juga tidak akan berlaku selagi Parlimen tidak bersidang dan perintah darurat terpakai.

“Antara keputusan utama mesyuarat tadi (mesyuarat MKT semalam) ialah menggesa (sidang) Parlimen dan DUN dibuka terlebih dahulu supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asal,” katanya.

Mengulas lanjut Shahril berkata, Umno percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala, selagi itulah prinsip akauntabiliti dikesampingkan, pelabur menjauhi, ekonomi hambar dan pembuatan dasar negara tidak terurus seperti sediakala.

Dalam pada itu beliau berkata, sebarang ketetapan berhubung pembabitan Umno dalam kerajaan PN akan diputuskan atas semangat musyawarah.

“Apabila keputusan itu diambil, MKT yakin semua ahli parti, termasuk yang menjadi anggota kerajaan hari ini akan mematuhinya, sekali gus mempamerkan kesatuan tindakan dalam parti.

“Dalam hal pemilihan parti, sekali lagi Umno mengambil pendekatan komprehensif dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh.

“MKT juga memutuskan untuk mendapat panduan daripada pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik, mengambil kira kekangan SOP Covid-19,” katanya.

Sementara itu, bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa, menyifatkan keputusan MKT Umno untuk mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini adalah langkah bijaksana dan cermat tanpa mewujudkan polemik baharu.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau percaya sekarang adalah masa terbaik untuk berfikir dan mencari jalan untuk “memperbetul kekusutan”.

“Imej dan persepsi rakyat terhadap parti perlu segera diperbaiki dan solidariti perlu dibina kembali,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.