Sultan Pahang tarik balik gelaran ‘Datuk Seri’ Nicky Liow

Sultan Pahang tarik balik gelaran ‘Datuk Seri’ Nicky Liow

Ini susulan Nicky Liow dikehendaki polis berhubung penglibatannya dalam jenayah terancang.

Nicky Liow. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menitahkan Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang kepada pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow ditarik balik dan dibatalkan serta-merta.

Anugerah itu membawa gelaran “Datuk Seri”.

Selain Nicky, Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran “Datuk”, kepada  seorang lagi individu, iaitu adiknya, Liow Wei Loon, turut dibatalkan.

Nicky, atau nama sebenarnya Liow Soon Hee, 33, dikehendaki polis kerana disyaki terlibat jenayah terancang, seperti sindiket penipuan dan pengubahan wang haram.

Baru-baru ini, Interpol mengeluarkan notis merah bagi menahan Nicky.

Awal bulan ini, seramai 16 individu termasuk dua adik Nicky, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Mereka termasuk Nicky, dan pembantunya, Niu Zhe, seorang warga China, yang didakwa tanpa kehadiran, kerana masih bebas.

Mengikut pertuduhan, 15 tertuduh, termasuk Nicky dan dua adiknya, Wei Loon dan Liow Wei Kin, didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, kerana didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Seorang lagi individu bernama Lim Kim Ming, pula didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan, kerana didakwa membantu kumpulan jenayah terancang.

Minggu lalu, seorang pegawai polis kanan ditangkap berhubung dakwaan dia mempunyai kaitan dengan Nicky.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay menjangkakan beberapa anggota polis lain akan turut ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.