Semua isu buruh paksa selesai, kata Top Glove

Semua isu buruh paksa selesai, kata Top Glove

Top Glove Corp Bhd berkata, perkara itu disahkan perunding bebas, Impactt dalam laporannya Khamis lalu.

Top Glove Corp berkata, ia akan berhubung dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat untuk membatalkan WRO ke atas produknya.
PETALING JAYA:
Pembuat sarung tangan terbesar dunia berkata, ia sudah menyelesaikan semua 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa.

Top Glove Corp Bhd berkata, perkara itu disahkan perunding bebas, Impactt dalam laporannya pada Khamis lalu.

Bulan lalu, Top Glove berkata, ia melantik Impactt untuk memantau pelaksanaan “pelan tindakan pembetulan” dan langkah pemulihan lain, tetapi tidak menemui sebarang bukti “buruh paksa sistemik” setakat Januari lalu.

Walaupun petunjuk buruh paksa seperti sekatan pergerakan, kerja lebih masa keterlaluan dan menahan gaji tidak lagi berlaku setakat Jan 2021, Impactt berkata, “perkembangan lanjut” sudah dibuat berkaitan petunjuk lain seperti penahanan dokumen pengenalan diri, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk, penipuan, ikatan hutang, intimidasi serta keganasan dari segi fizikal dan seksual.

Dengan penyelesaian itu, syarikat berkenaan memberi jaminan kepada pemegang saham dengan usaha berterusannya untuk meningkatkan kebajikan pekerja.

“Kami tetap komited untuk menjadi syarikat terbaik berdasarkan kemampuan kami, memastikan kebajikan, kesihatan, keselamatan, keadaan kerja dan tempat tinggal berkualiti tinggi untuk 21,000 tenaga kerja kami,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Top Glove, Lee Kim Meow dilaporkan berkata, sebaik saja semua 11 petunjuk diselesaikan, syarikat itu akan berhubung dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) untuk membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas produknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.