MPKj arah ‘fun fair’ langgar SOP ditutup segera

MPKj arah ‘fun fair’ langgar SOP ditutup segera

Majlis Perbandaran Kajang berkata, operator taman hiburan itu juga perlu menjawab surat tunjuk sebab berhubung pelanggaran SOP.

Taman hiburan yang didakwa terletak di sebelah sebuah pusat beli-belah di Cheras Selatan itu dibuka sejak 12 April lalu bermula 7.30 hingga 12 malam.
PETALING JAYA:
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) hari ini mengarahkan operasi sebuah taman hiburan di Cheras Selatan, Balakong, ditutup serta-merta kerana melanggar SOP Covid-19.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Kamarul Izlan Sulaiman, berkata operator taman hiburan itu juga diberi tiga hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung pelanggaran SOP.

“MPKj akan menyerahkan notis itu petang ini berhubung arahan menghentikan operasi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, permit hiburan operator itu digantung serta-merta sehingga MPKj berpuas hati terhadap pematuhan SOP di tapak terbabit.

Taman hiburan itu didakwa terletak di sebelah sebuah pusat beli-belah di Cheras Selatan dan dibuka sejak 12 April lalu hingga 24 Mei bermula 7.30 hingga 12 malam.

Terdahulu, satu klip video selama 13.35 minit tular di media sosial, dengan seorang lelaki mempersoalkan langkah pihak berkuasa tempatan membenarkan taman hiburan itu dibuka ketika jumlah kes Covid-19 masih tinggi.

Lelaki itu turut mempersoalkan penguatkuasaan SOP di kawasan sesak itu.

Kamarul Izlan berkata, MPKj akan menyiasat aduan dalam video yang tular di media sosial.

“MPKj memandang serius isu pelanggaran SOP ini. Maklumat terkini akan disalurkan selepas siasatan lengkap.”

Sementara itu, ADUN Balakong, Wong Siew Ki, ketika dihubungi FMT berkata, beliau sudah menghantar aduan penduduk berhubung perkara itu kepada MPKj.

Beliau menasihatkan penduduk setempat segera membuat aduan rasmi kepada PBT bagi membolehkan tindakan segera diambil jika mendapati sebarang pelanggaran SOP Covid-19.

“Tunggu kes tular baru kita nampak dan ambil tindakan, kadangkala ambil masa terlalu lama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.