
Permohonan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim adalah cabaran ketiga yang diketepikan mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters, berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa mengenai perkara itu.
Pasukan undang-undang Hassan dalam kenyataan berkata, mahkamah pada dasarnya menekankan analogi bahawa pintu mahkamah pada saat ini ditutup daripada sebarang cabaran.
“Walaupun dengan kuncinya, mahkamah ini masih tidak dapat membuka pintunya kerana tertakluk kepada Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dicabar dimahkamah atas apa alasan sekalipun,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pasukan undang-undang Hassan “sangat kecewa kerana keputusan itu menafikan hak litigan untuk mendapat keadilan” dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hassan akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Peguam Gurdial Singh Nijar, Christopher Leong, Abdullah Abdul Rahman, Abraham Au dan Nirvan Gopalan-Krishnan mewakili Hassan.
Jabatan Peguam Negara diwakili oleh S Narkunavathy, Ahmad Hanir Hambaly dan Safiyyah binti Omar.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar Ibrahim untuk memulakan semakan kehakiman ke atas nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Peguam Anwar Ramkarpal Singh berkata antara alasan yang diberikan adalah klausa penyingkiran dalam Perkara 150 (6) dan (8) adalah sah dan mengecualikan semakan kehakiman atas perkara-perkara yang berkaitan dengan pengisytiharan darurat dan ketetapan oleh Agong.
Dalam permohonan yang diajukan pada 25 Jan, Anwar meminta perisytiharan bahawa keputusan Kabinet, yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin, untuk menasihati Agong untuk mengesahkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang mengakibatkan penangguhan Parlimen, tidak berperlembagaan, melanggar undang-undang, tidak mempunyai kesan dan “ultra vires”.
Anwar turut meminta pengisytiharan bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat tidak sesuai dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan, dan oleh itu tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Pada 11 Mac, seorang hakim Mahkamah Tinggi lain di Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Md Shahid, turut memutuskan bahawa cabaran terhadap pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.
Ahmad Kamal mengatakan bahawa Artikel 150 (8), yang menyatakan bahawa keputusan yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah atas apa-apa alasan, adalah sah dan berperlembagaan.
“Lebih penting lagi, Artikel 150 (8) telah menutup pintu undang-undang daripada sebarang permohonan atau tindakan mencabar perisytiharan dan ordinan di bawah undang-undang darurat,” katanya ketika menolak permohonan Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai), Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) dan Abdul Aziz Bari (ADUN Tebing Tinggi dari Perak).
Tiga lagi cabaran oleh bekas pemimpin PPBM, Khairuddin Abu Hassan, sekumpulan ahli badan bukan kerajaan dan Majlis Peguam ditangguhkan di Mahkamah Tinggi.