
PUTRAJAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyegerakan suntikan vaksin Covid-19 kepada pengamal media selepas laporan mendakwa kakitangan sebuah organisasi media sudah menerima vaksin.
Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, laporan itu secara tidak langsung memperlihatkan wujudnya ketidaktelusan dalam vaksinasi memandangkan pihaknya masih menunggu lampu hijau kerajaan selepas menyerahkan senarai nama sejak bulan lalu.
“Dalam situasi negara masih bergelut dengan penularan Covid-19 ditambah peningkatan kes baharu setiap hari, adalah wajar pengamal media mendapat suntikan vaksin.
“Pengamal media sudah diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan, sama seperti badan beruniform lain disebabkan tuntutan kerja perlu berada di lapangan pada setiap masa,” kata beliau dalam kenyataan.