Kelas dalam talian selama 2 minggu selepas Aidilfitri

Kelas dalam talian selama 2 minggu selepas Aidilfitri

Ini bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang mungkin berlaku ketika cuti perayaan, kata Radzi Jidin.

Sesi PdPR akan bermula 16 hingga 27 Mei untuk sekolah kumpulan A dan 8 hingga 16 Mei bagi kumpulan B.
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan semua pelajar akan kembali kepada sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti Aidifitri.

“Ia bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa cuti perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM),” kata beliau dalam catatan Facebook.

Radzi berkata, kementeriannya memutuskan sekolah kumpulan A akan bercuti mulai 7 hingga 15 Mei ini, dengan PdPR dilaksanakan dari 16 hingga 27 Mei.

Kumpulan B pula akan bercuti mulai 8 hingga 16 Mei, dengan PdPR dari 17 hingga 28 Mei.

Kumpulan A terdiri daripada sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B adalah sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Radzi berkata, tiada hukuman untuk pelajar yang tidak hadir ke sekolah kerana ibu bapa bimbang dengan keadaan Covid-19.

“Kami tidak pernah menghukum pelajar yang tidak mahu ke sekolah, jika mereka rasa tidak selamat berbuat demikian.

“Tetapi, ibu bapa perlu menulis surat untuk memaklum dan memberi alasan sesuai, kami (sekolah) perlu mempunyai rekod.”

Radzi berkata, kanak-kanak yang mempunyai simptom tidak patut dihantar ke sekolah atau pelajar dengan ibu bapa yang dikuarantin.

Terdahulu, Radzi dilaporkan Bernama sebagai berkata, data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan 52 daripada 99 kluster pendidikan melibatkan sekolah di bawah kelolaan KPM yang mencatatkan 2,274 kes.

Katanya, angka ini adalah 4.8% daripada keseluruhan kluster atau 2.07% daripada kes kluster.

Daripada kes itu, 1.42% atau 1,559 kes melibatkan sekolah berasrama dan hanya 0.53% atau 585 kes membabitkan sekolah bukan asrama, tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.