Jangan guna agama wajarkan pemeriksaan haid, kata G25

Jangan guna agama wajarkan pemeriksaan haid, kata G25

Kumpulan bekas penjawat awam kanan itu berkata, guru sepatutnya mencari jalan lebih baik untuk mendidik dan mendorong pelajar menunaikan ibadat dengan kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan.

G25 berkata, perbincangan perlu diwujudkan di semua peringkat supaya niat baik guru untuk mendidik dan menegur pelajar tidak melampaui batas.
PETALING JAYA:
Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 berkata, niat baik untuk menegakkan akidah Islam tidak boleh dijadikan alasan bagi membenarkan guru mencabul hak pelajar.

Katanya, guru sepatutnya mencari jalan lebih baik untuk mendidik dan mendorong pelajar menunaikan ibadat dengan kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan.

“Niat untuk pelajar menunaikan solat agar ia menjadi kebiasaan harian memanglah baik, tetapi memaksa dengan mencabul maruah anak-anak ini tidak akan mendorong mereka untuk lebih bergiat.

“Malah, ia mendatangkan padah kepada anak-anak ini yang terasa terganggu dari segi mental dan fizikal, juga menonjolkan amalan akidah yang keterlaluan dan satu pencerobohan. Amalan sebegini bercanggah dengan apa yang dituntut Islam,” katanya dalam kenyataan.

G25 berkata, tindakan guru itu tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar dan hak asasi manusia perlu dipatuhi serta dihormati.

Baru-baru ini, FMT melaporkan pendedahan beberapa pelajar berhubung penderitaan di sekolah awam, termasuk pemeriksaan haid dan gangguan seksual.

Pelajar melaporkan bagaimana sesetengah ustazah meragui mereka yang datang haid sehingga meminta mereka menunjukkan tuala wanita yang dipakai.

Ia mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mencadangkan guru yang didapati bersalah melakukan pemeriksaan itu didakwa di bawah Akta Kanak-kanak 2001 atau Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

G25 menggesa Kementerian Pendidikan bertindak segera untuk segera menghentikan amalan pemeriksaan haid.

“Berikan arahan khas dan amaran kepada sekolah dan asrama untuk melarang pemeriksaan haid dengan cara apa sekalipun.

“Kementerian Pendidikan tidak lagi boleh membisu, tidak peduli seolah-olah membenarkan pencabulan sebegini dibiarkan berlaku.”

Katanya, perbincangan perlu diwujudkan di semua peringkat daripada sekolah, pihak berkuasa berkaitan dan ibu bapa supaya niat baik guru untuk mendidik dan menegur pelajar tidak melampaui batas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.