‘Hanya RM5 bilion’ akan diambil dari KWAN, kata Tengku Zafrul

‘Hanya RM5 bilion’ akan diambil dari KWAN, kata Tengku Zafrul

Ini termasuk RM3 bilion untuk pembelian vaksin, seperti diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata RM3 bilion yang disebut dalam pembentangannya November lalu, tidak termasuk dalam belanjawan bernilai lebih RM300 bilion itu.
PUTRAJAYA:
Kerajaan hanya akan menggunakan RM5 bilion daripada dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi tujuan perolehan vaksin, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ini termasuk RM3 bilion untuk pembelian vaksin, seperti yang diumumkan kali pertama ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Beliau juga menjelaskan, RM3 bilion yang disebut dalam pembentangannya November lalu, tidak termasuk dalam belanjawan bernilai lebih RM300 bilion itu.

Dalam taklimat media hari ini, Zafrul berkata, jumlah RM3 bilion awal itu hanyalah anggaran dan belum dimuktamadkan pada masa itu.

Beliau menjelaskan, kosnya meningkat kerana kerajaan kini menyasarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan disempurnakan menjelang hujung tahun ini, bukan pada Februari 2022, seperti perancangan asal.

Ini termasuk lebih perbelanjaan bagi dos vaksin tambahan, menyumberluarkan pengamal perubatan swasta, menyewa pusat vaksinasi, dan elaun bagi sukarelawan.

“Jika RM5 bilion tidak diambil dari KWAN, kerajaan perlu meminjam lebih banyak dan defisit kita mungkin akan meningkat kepada 6.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada kerajaan selama ini merancang untuk menggunakan KWAN bagi menguruskan wabak.

Dana amanah tersebut pada masa ini mempunyai RM19.5 bilion pada 31 Dis 2020, merangkumi sumbangan bernilai RM10.4 bilion daripada Petronas dan RM9.1 bilion hasil pulangan pelaburan.

Zafrul berkata, RM5 bilion untuk vaksin akan datang sepenuhnya daripada hasil pelaburan KWAN.

Ketika menjelaskan alasan kerajaan menggunakan dana KWAN, beliau berkata, dana tersebut ditubuhkan 33 tahun lalu bagi kegunaan kecemasan generasi masa depan.

“(Dana) ditubuhkan pada 1988, jadi kita lah generasi masa depan itu,” kata beliau.

Menurut beliau, kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) mewarisi lebih RM1 trilion liabiliti dan pinjaman tanpa pembayaran balik, termasuk yang berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

“Sebagai contoh, kewajipan berkaitan 1MDB sebanyak RM40 bilion cukup untuk menampung lapan kali ganda kos vaksin,” kata beliau.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan berdepan masalah kewangan ketika menangani krisis kesihatan awam semasa.

Kerajaan sebenarnya dibenarkan menggunakan dana KWAN sejak 1998, kata Zafrul, tetapi hanya bagi tujuan pembangunan negara.

Ini lah sebabnya pindaan Ordinan Darurat diperluas bagi membenarkan kerajaan menggunakan dana KWAN secara spesifik bagi memperoleh vaksin dan perbelanjaan lain yang berkaitan.

Beliau juga berkata, kerajaan merancang untuk “mengganti semula” dana yang dipinjam dengan menggesa firma lain yang mendapat manfaat daripada sumber asli untuk menyumbang kepada KWAN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.