
Ketua Polis Daerah Padang Terap Mulkiaman Manzar berkata, dalam kemalangan jam 4.15 petang itu, kereta Proton Wira dari arah Semeliang menuju ke Kuala Nerang itu dikatakan cuba mengelak haiwan yang melintas secara tiba-tiba di hadapan kenderaan itu.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai terlanggar bahagian tepi pintu hadapan sebelah kiri kereta berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berusia 37 tahun dan anaknya berusia enam tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Malah penunggang motosikal yang berusia 20 tahun itu juga meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng motosikal berusia 11 tahun parah dan sedang dirawat di Hospital Kuala Nerang,” katanya menurut laporan Berita Harian Online.
Sementara itu Mulkiaman berkata, saksi kejadian gagal memastikan spesies haiwan yang melintas kerana tidak melihatnya dengan jelas.
“Tiga mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kemalangan itu menyebabkan kereta terbabit rosak teruk pada bahagian bumbung dan keempat-empat pintu, manakala motosikal rosak teruk pada bahagian depan serta patah kedua-dua cermin pandang belakang,” katanya.