Dirakam langgar penunggang motosikal, pemandu Honda City tampil bantu siasatan

Dirakam langgar penunggang motosikal, pemandu Honda City tampil bantu siasatan

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, pemandu berusia 33 tahun itu hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur petang semalam.

Tangkap layar klip video tular menunjukkan kereta Honda City melanggar sebuah motosikal ketika lampu isyarat merah.
PETALING JAYA:
Pemandu Honda City yang dirakam melanggar seorang penunggang motosikal di lampu isyarat berhampiran Selayang dekat Gombak kelmarin, tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, pemandu berusia 33 tahun itu tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 5 petang semalam.

“Berdasarkan rakaman percakapan, lelaki berkenaan mengaku tidak perasan lampu isyarat di tempat kejadian masih merah.

“Apabila berlaku kemalangan jalan raya, pemandu kereta terbabit terkejut dan berasa takut lalu terus balik ke rumah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Arifai berkata, ujian saringan air kencing ke atas pemandu kenderaan itu juga didapati negative dadah.

Katanya, polis turut membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Arifau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut serta maklumat penunggang motosikal diminta tampil membantu siasatan.

Terdahulu seorang penunggang motosikal dilanggar lari oleh sebuah kereta Honda City di satu persimpangan lampu isyarat di Selayan, dekat Gombak kelmarin.

Menerusi rakaman kamera video (dashcam) berdurasi 32 saat yang tular di media sosial, dalam kejadian 5.36 petang itu, kereta Honda City terbabit didapati melanggar lampu isyarat merah, sebelum terbabit kemalangan dengan motosikal yang datang dari arah kanan.

Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal terjatuh, namun tidak dapat dipastikan kecederaan dialaminya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.