
Katanya, beberapa negara sedang menjalankan ujian klinikal terhadap kanak-kanak bagi vaksin itu, manakala Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat (AS) dijangka meluluskannya untuk kegunaan golongan berkenaan pada suku ketiga 2021.
Katanya, ini bererti Malaysia mungkin hanya akan menerimanya pada penggal terakhir tahun ini.
“Itupun jika bekalan belum dibolot negara lain. Jika mahu lebih pasti, kerajaan perlu mula membuat tempahan untuk dibekal vaksin kanak-kanak biarpun belum ada kepastian akan lulus (oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara).
“Jangan ulangi kesilapan tahun lepas di mana kita lambat tempah vaksin,” katanya.
Buat masa ini, Pfizer telah memulakan ujian klinikal untuk vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak bawah usia 11 tahun.
Syarikat farmaseutikal itu memulakan ujian tiga tahap dos untuk digunakan kategori usia berkenaan.
Ujian turut dilaksanakan terhadap kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.
Selain Pfizer, Moderna juga melakukan ujian klinikal terhadap kanak-kanak.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, sebelum ini berkata vaksin yang dibeli kerajaan tidak akan digunakan untuk kanak-kanak kerana tiada data klinikal menunjukkannya selamat bagi golongan terbabit.