Tak pakai pelitup muka, tak jaga jarak punca kluster keagamaan

Tak pakai pelitup muka, tak jaga jarak punca kluster keagamaan

Daerah Kota Setar merekod peningkatan kes dikaitkan dengan majlis tadarus susulan laporan segelintir pihak gagal mematuhi SOP.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Hayati Othman tidak menolak kemungkinan JHEAIK mengekang aktiviti keagamaan sekiranya kes semakin meningkat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Daerah Kota Setar, di Alor Setar merekod peningkatan kes membabitkan kluster berkaitan majlis keagamaan selain kluster-kluster lain yang masih aktif, susulan terdapat laporan ada segelintir pihak gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Hayati Othman berkata, hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri mendapati kluster berkaitan majlis keagamaan ini tercetus pada majlis tadarus.

“Siasatan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri mendapati kluster berkaitan majlis keagamaan ini tercetus pada majlis tadarus, (kerana) mereka tidak pakai pelitup muka dan duduk pula dekat-dekat.

“Sedangkan mereka yang nak bertadarus ini, kita sudah menetapkan SOP. Seharusnya aktiviti tadarus perlu memakai pelitup muka dan duduk dalam jarak satu meter antara satu sama lain,” katanya dipetik Harian Metro.

Tambahnya, jika kes semakin meningkat mungkin Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) akan mengeluarkan arahan tertentu untuk mengekang aktiviti keagamaan seperti yang berlaku pada tahun lalu.

“Kita sudah hadapinya pada tahun lalu, solat tarawih hanya dibenarkan tiga orang sahaja. Jadi kita tidak mahu angka kluster ini semakin meningkat pada tahun ini, maka semua orang dinasihatkan patuhi SOP.”

Justeru, orang ramai dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan aktiviti sepanjang Ramadan berikutan masih terdapat penularan kes Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.